Ucapan Pengarah KKJU
- Details
- Pentadbir Web 2
- Hits: 3201
Assalamualaikum wrt. Salam Malaysia Madani, Salam Perkasa Kolej Komuniti Jelebu, Kolej Komuniti Jelebu Hati Budiku.
Selamat melayari laman sesawang rasmi Kolej Komuniti Jelebu (KKJU), Negeri Sembilan. Laman sesawang ini menyediakan maklumat umum kepada orang ramai, warga kerja dan pelajar mengenai institusi ini. Maklumat ini merangkumi program pengajian yang ditawarkan serta kemudahan dan fasiliti yang disediakan. Pelbagai maklumat terkini dan program yang berlangsung serta bakal berlangsung juga boleh diperoleh melalui laman sesawang ini.
Alhamdulillah, dengan izin Allah SWT saya diberikan amanah untuk menerajui KKJU mulai 28 Jun 2024 sebagai Pengarah yang ke-9. Menginsafi amanah ini sebagai suatu tanggungjawab kepada negara, saya dan rakan sekerja di KKJU bertekad menjayakan kempen TVET for ALL yang digagaskan oleh Jabatan Pendidikan Politeknik dan Kolej Komuniti (JPPKK) dalam konteks memberikan peluang kepada pelbagai kumpulan sasar menyertai program pengajian TVET di PolyCC khususnya di KKJU. Statistik terkini menunjukkan PolyCC menyumbang 40% daripada guna tenaga kerja mahir dalam bidang TVET di Malaysia akan terus ditambahbaik melalui program pengajian sepenuh masa yang ditawarkan kepada belia lepasan SPM. Usaha ini tentunya akan diterjemahkan melalui komitmen dan kerja keras barisan pensyarah berpengalaman di KKJU.
Hubungan erat dengan komuniti juga akan terus diperhebat melalui program Pembelajaran Sepanjang Hayat (PSH) bagi membolehkan sesiapa sahaja tanpa mengira latar usia dan peringkat pengajian untuk menjayakan agenda pemerkasaan komuniti dengan ilmu berbentuk kemahiran seperti mana yang dihasratkan oleh YBhg. Dato’ Dr. Haji Zahari bin Ismail, Ketua Pengarah Pendidikan Politeknik dan Kolej Komuniti. PSH akan terus menjadi nadi penggerak dan DNA kolej komuniti dalam memperkasa komuniti seterusnya mengangkat institusi ini sebagai peneraju bidang TVET yang unggul dan berprestasi tinggi.
Slogan “PolyCC Pemacu Negara Madani” menjadi pedoman warga KKJU ke arah mentransformasi PolyCC menjadi lebih mandiri, kalis cabaran masa hadapan dan seterusnya membentuk naratif baharu bahawa TVET bukan pilihan kedua.
Izinkan saya memetik kata-kata azimat Ketua Pengarah Pendidikan Politeknik dan Kolej Komuniti iaitu;
“Graduan berkualiti, amanah kami.Pensyarah kompeten, izzah kami.PolyCC wadah kami.Memacu destinasi Malaysia Madani.”
Inshaa Allah, dengan berteraskan prinsip 4K yang diilhamkan oleh Ketua Pengarah Pendidikan Politeknik dan Kolej Komuniti iaitu “Kebajikan, Keberkatan, Keharmonian dan Kesihatan”, KKJU akan sentiasa bersama mendukung hasrat murni merealisasikan agenda TVET negara.
Akhir kata, kami juga mengalu-alukan pandangan, cadangan dan apa jua bentuk kerjasama daripada semua pihak yang dapat membantu mempertingkatkan lagi mutu perkhidmatan kami. Mudah-mudahan usaha ini memberi manfaat buat semua. Jutaan terima kasih kerana sudi mengunjungi laman sesawang rasmi Kolej Komuniti Jelebu.
Salam hormat.
En. Abdul Rahim bin Ibrahim
Pengarah
Kolej Komuniti Jelebu