Selayang Pandang & Latar Belakang KKJU

Kolej Komuniti Jelebu (KKJU) merupakan satu-satunya Institusi Pendidikan Tinggi Awam (IPTA) di bawah Jabatan Pendidikan Politeknik dan Kolej Komuniti (JPPKK), Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) yang terdapat di daerah Jelebu, Negeri Sembilan.

KKJU mula beroperasi secara rasmi pada tanggal 1 Mac 2003 dengan menumpang secara sementara di Sekolah Menengah Teknik Kuala Klawang (kini dikenali Kolej Vokasional Kuala Klawang) dan menawarkan Program Sijil Teknologi Elektrik (Pemasangan dan Perkhidmatan) secara sepenuh masa.

Bermula 1 Mei 2004, KKJU berpindah ke bangunan tetap berbentuk kampus yang dilengkapi dengan pelbagai kemudahan beralamat di Jalan Seperi, 71600 Kuala Klawang, Negeri Sembilan.

Setelah dua dekad penubuhannya, KKJU mengorak langkah dan kini menawarkan lima program pengajian secara sepenuh masa untuk memperkasa bidang TVET serta memenuhi keperluan pekerja mahir dan separa mahir untuk pelbagai industri di Malaysia.

Program-program tersebut ialah;
     1. Sijil Teknologi Elektrik (Pemasangan & Perkhidmatan) + PW2 (STE)
     2. Sijil Pemprosesan & Kawalan Mutu Makanan (SPK)
     3. Sijil Sistem Komputer dan Rangkaian (SSK)
     4. Sijil Teknologi Pembinaan Bangunan (STP)
     5. Sijil Asas Pemprosesan Makanan (KPK) (Program khas untuk OKU masalah pembelajaran)
Selain mempunyai fasiliti yang lengkap dan program pengajian yang diiktiraf oleh MQA dan MBOT, tenaga pengajar di KKJU juga adalah berpengalaman dan pakar dalam bidang masing-masing.

Di KKJU, kami komited untuk merealisasikan impian anda serta menjadi 'Peneraju Institusi TVET yang Unggul'.